Media sosial dan aplikasi telefon pintar adalah saluran utama bagi calon-calon Pakatan Harapan (PH) menyampaikan kempen dan mesej kepada pengundi disebabkan kekangan liputan media arus perdana terhadap calon-calon PH.

Calon N.16, Dewan Undangan Negeri (Dun) Inderapura, Fakhrul Anuar Zulkawi berkata, keberkesanan media sosial telah terbukti sejak pilihanraya umum yang lepas apabila pengundi-pengundi bergantung sepenuhnya kepada media sosial untuk mendapatkan maklumat lebih pantas.

“Perkongsian jadual calon, gambar, berita dan laporan langsung dari lokasi berkempen sentiasa dibuat secara pantas supaya pengundi mempunyai pengetahuan mendalam mengenai misi dan visi seseorang calon.

"Bertanding di bawah Pakatan Harapan dan mewakili Parti Keadilan Rakyat, PKR, kami sedar akan kekangan media milik kerajaan dan memanfaatkan sepenuhnya platform media sosial dan aplikasi telefon pintar,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Jelas Fakhrul Anuar, setiap pasukan calon berkempen dilengkapi dengan pemberita media sosial yang cekap melaksanakan tugas bagi menyampaikan maklumat kerana pengundi semakin bijak untuk tidak bergantung kepada hanya satu sumber maklumat.

Aktiviti calon, jadual dan kempen disampaikan secara menyeluruh menerusi media sosial

Fakhrul Anuar terpilih menjadi calon hasil perjuangan beliau kepada penduduk sekitar Inderapura menerusi pelbagai Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan telah dikenali kerana berkhidmat memberi tuisyen percuma selain menyelesaikan masalah dihadapi penduduk.

Bagi pilihan raya umum ke-14 ini, Fakhrul Anuar menumpukan kepada janji-janji perubahan yang mahu dibawa jika PH diberi mandat penuh untuk membentuk kerajaan iaitu menambahbaik kualiti kehidupan rakyat yang terkesan kerana pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk suri rumah dan isu pembangunan lestari bandar Kuantan yang pernah dikejutkan dengan perlombongan haram bauksit dan ketiadaan Pusat Pelupusan Kekal sisa radioaktif.

“Isu tanah melibatkan penduduk Ubai, Cherok Paloh dan Kuala Penor adalah antara isu yang mendesak dan rumit untuk diselesaikan jika Pakatan Harapan tidak diberi mandat penuh membentuk kerajaan.

"Calon PKR, Fuziah Salleh misalnya, yang menang Parlimen Kuantan sejak dua penggal lalu berdepan pelbagai cabaran untuk menyelesaikan masalah penduduk kerana “sekatan halus” yang dikenakan kepada wakil rakyat pembangkang termasuk dinafikan peruntukan tahunan,” katanya.

Disebabkan perkara ini, Pakatan Harapan memerlukan kemenangan besar untuk membawa perubahan yang dapat dirasai semua lapisan rakyat terutama melibatkan kos sara hidup yang terlalu tinggi ketika ini selain mewujukan pembangunan yang seimbang dan mapan.