Nurul Izzah Anwar pasti ada alasannya sendiri apabila mengambil keputusan melepaskan semua jawatannya dalam PKR.

Demikian menurut pandangan Pengurus Kanan Penyelidikan Institut Darul Ehsan (IDE), Khairul Arifin Mohd Munir mengulas tindakan Nurul Izzah yang meletak jawatan Naib Presiden PKR dan Pengerusi PKR Pulau Pinang 17 Disember lalu.

Khairul Arifin bagaimanapun berpendapat, Nurul Izzah mungkin tidak boleh memberikan penjelasan yang lebih lengkap kerana khuatir akan membawa kesan negatif kepada Pakatan Harapan (PH).

“Ini isu politik. Jadi, bukan mudah untuk letakkan dalam hitam putih penjelasan keputusan beliau. Kerana, kadangkala perbuatan itu akan membawa kesan politik yang negatif.

“Apabila seseorang itu memberi penjelasan, mungkin ada orang yang suka, mungkin ada orang yang tak suka, boleh mengeruhkan keadaan. Jadi, Nurul Izzah berada di antara dua senario itu,” katanya ketika ditemu bual dalam rancangan Pilihan AWANI pada Khamis.

BACA: Situasi dalaman PH kecewakan Nurul Izzah - Saifuddin
Isnin lalu, Nurul Izzah menerusi satu kenyataan berkata beliau boleh memegang kepada kepercayaan dan idealnya dengan lebih baik jika melepaskan jawatan dalam parti dan kerajaan.

Kenyataan Nurul Izzah itu dianggap kurang jelas oleh sesetengah pihak, yang mendambakan penjelasan lebih lengkap daripada figura yang berpengaruh dalam Pakatan Harapan itu.

BACA: Nurul Izzah wanita paling berpengaruh

Sementara itu, Khairul Arifin tidak menolak kemungkinan tindakan Nurul Izzah akan memberi kesan kepada selera anak muda untuk bergiat aktif dalam politik.

Katanya, Ahli Parlimen Permatang Pauh itu ikon anak muda dan diterima oleh pelbagai lapisan masyarakat.

Khairul Arifin berkata tinjauan persepsi yang dilakukan oleh IDE sekitar 2016-2017 mendapati Nurul Izzah mendapat skor tertinggi dalam kalangan anak muda.

BACA: 'Saya tidak tahu mengapa Nurul Izzah letak jawatan' - Tun M

Tambahnya, walaupun bertanding pada peringkat Naib Presiden pada pemilihan PKR lalu, Nurul Izzah turut memperoleh jumlah undian lebih tinggi daripada pemilihan peringkat Timbalan Presiden.

“Saya rasa undi yang diperolehi beliau melampaui apa yang kita gelar sebagai politik ‘chai’, iaitu politik kumpulan-kumpulan tertentu.

“Beliau nampak gayanya diterima oleh semua golongan dan lapisan masyarakat,” katanya.

BACA: Hormati keputusan Nurul Izzah - Zuraida

Khairul Arifin bagaimanapun tidak menolak keperluan Nurul Izzah untuk memberikan penjelasan yang lebih “praktikal”.

Pada masa yang sama beliau berpendapat, Nurul Izzah tidak akan menyalahi prinsip sekiranya beliau menarik kembali keputusan yang telah diambil.

“Saya lihat ramai juga di kalangan netizen yang hendak beliau mempertimbangkan kembali (keputusannya).

“Figura Nurul Izzah bukan figura biasa-biasa dalam konteks ikon politik,” tambah Khairul Arifin.