Bekas Presiden (MIC) Datuk Seri G. Palanivel mendakwa Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) 2009 dipengerusikannya akan mengadakan pemilihan parti bagi semua jawatan bulan depan.

Pemilihan parti yang merupakan antara 6 resolusi itu telah diluluskan dalam mesyuarat (CWC) yang diadakan buat kali kedua pada Isnin.

Menurut Palanivel, proses penamaan calon bagi ketua cawangan akan bermula pada 15 dan 16 Julai diikuti pemilihan pada 24 hingga 26 Julai ini.

Manakala pemilihan bagi jawatan presiden pula dijangka akan bermula pada September depan

“Mesyuarat ini bersetuju tanpa prejudis dengan rayuan yang telah difailkan ke Mahkamah Tinggi Rayuan Kuala Lumpur iaitu permohonan 25-39-02/2015 dan perintah berkaitan bagi penangguhan krisis itu," kata beliau.

Mengulas lanjut, beliau akan menghantar surat kepada semua ketua cawangan supaya tidak melayan sebarang permintaan termasuk pemilihan parti diketuai Datuk Seri Dr. S. Subramaniam.

Beliau juga memberi amaran terhadap Subramaniam yang dikatakan telah digantung keahliannya selama setahun supaya tidak memegang lagi jawatan sebagai pemangku presiden.

“Datuk Seri Dr. S. Subramaniam telah digantung sebagai Timbalan Presiden MIC kerana memegang jawatan sebagai pemangku presiden dan mana-mana ahli parti tidak seharusnya mengiktiraf beliau dengan jawatan itu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan mesyuarat tertutup dengan 600 ahli MIC yang juga penyokongnya termasuk ketua cawangan di ibu negara pada Isnin.

Kemelut MIC bermula apabila Pendaftar Pertubuhan (ROS) mengeluarkan notis pada 5 Disember lalu mengarahkan pemilihan semula parti itu.

Ketua Pengarah Pendaftar Pertubuhan (RoS) Datuk Mohammad Razin Abdullah dalam surat bertarikh 25 Jun kepada Setiausaha Agung CWC 2009 menyatakan secara "ipso facto' Palanivel bukan lagi ahli (MIC).

Dalam kenyatan itu, Dr. Subramaniam akan mengambil alih tugas Palanivel selaku pemangku presiden MIC.