PAS menasihatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya keluar daripada Pakatan Harapan (PH) dan menyokong Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, sekali gus menghentikan pergolakan politik.

Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah, berkata saranan itu dibuat berikutan PH dilihat sudah tiada masa depan, selain pakatan berkenaan juga jelas menolak Presiden PKR itu.

"Saya nasihatkan Datuk Seri Anwar, harap-harap dia dengarlah (laporan ini)... suruh dia tinggalkan PH, bagi sokongan (kepada Muhyiddin).

"Itu menunjukkan sifat negarawan dia, dia boleh bagitahu kepada rakyat dia sokong Tan Sri Muhyiddin sebagai Perdana Menteri untuk mematikan pergolakan politik dalam negara.

"Ini akan memberi ruang kepada kerajaan untuk tumpu menyelesaikan isu ekonomi dan masalah COVID-19, nampak hebat dia (jika buat begitu)... dan kita berlawan dalam pilihan raya nanti.

"Kalau takdir dia ada rezeki menang, jadi perdana menteri, kalau kita menang, kita jadi perdana menteri, jadi masing-masing boleh terima... sebab itu keputusan (rakyat)... sebab dia asyik sebut mandat rakyat. Ini penyelesaian terbaik," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat Exco di Kota Bharu, pada Rabu.

Tambahnya, PH merupakan sebuah pakatan yang gagal lebih-lebih lagi apabila masih berselisih pendirian mengenai calon perdana menteri.

"Harapan Anwar untuk menjadi perdana menteri kerajaan PH adalah umpama tajuk filem Tan Sri Jins Shamsuddin - Tiada Esok Bagimu," katanya.

Mengulas mengenai tindakan Tun Dr Mahathir Mohamad menamakan Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebagai perdana menteri, Mohd Amar berkata ia petanda jelas PH menolak Anwar.