Pasukan khas jentera penerangan perlu ditubuhkan untuk memerangi persepsi negatif terhadap kerajaan dan pemimpin kerajaan susulan hampir 94 peratus media sosial antikerajaan.

Pensyarah kanan Kajian Politik dan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM) Md Shukri Shuib berkata tugas memberi penerangan kini tidak boleh lagi dilakukan ketua penerangan atau sayap-sayap parti semata-mata.

Sebaliknya, beliau berkata, pembentukan pasukan khas itu perlu untuk melaksanakan tugas-tugas tersebut dalam menangkis persepsi negatif terhadap UMNO, Barisan Nasional dan pemimpin kerajaan yang ditimbulkan oleh pembangkang.

"Lebih baik dilahirkan satu kumpulan atau beberapa kumpulan yang mempunyai tahap profesional tinggi untuk menyediakan perkhidmatan penerangan yang mantap kepada bahagian dan cawangan, khususnya untuk menerangkan isu-isu berbangkit," katanya kepada Bernama.

Menjelas lanjut, Md Shukri berkata pasukan khas jentera penerangan itu perlu dianggotai pihak yang mempunyai kepakaran tersendiri, misalnya anggota parti, veteran parti, generasi muda yang mahir dalam bidang teknologi dan wakil universiti.

Md Shukri berkata penerangan bagi memperbetulkan persepsi itu perlu dijelaskan lebih awal dan terperinci, bukannya terlalu lambat sehingga isu sudah basi dan persepsi negatif itu sudah terbentuk di pemikiran masyarakat.

"Usaha mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap kerajaan perlu diperkukuh supaya pemikiran mereka tidak selamanya diracuni pembangkang yang merencana pelbagai dakwaan negatif terhadap kerajaan," katanya.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini menyatakan kajian ahli akademik mendapati persepsi negatif masyarakat terhadap UMNO, BN dan pemimpin kerajaan masih tinggi akibat dipengaruhi media baharu.

Kajian itu menunjukkan hanya 6.6 peratus media baharu di negara ini menyokong kerajaan manakala 93.4 peratus lagi merupakan media baharu antikerajaan.

Beliau berkata pasukan penerangan itu perlu mendalami sesuatu isu dan menyediakan jawapan tepat dan bersepadu supaya maklumat berkenaan dapat digunakan anggota dan pemimpin parti dalam menerangkan isu sama.

Jelas Md Shukri, maklumat yang tidak seragam boleh menimbulkan kecurigaan dalam kalangan rakyat dan menyebabkan BN hilang sokongan.

Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi MARA Pahang, Che Hamdan Che Mohd Razali berkata jentera BN perlu lebih agresif memberikan penerangan tentang dasar kerajaan.

"Kadang-kadang kumpulan sasar dan akar umbi tidak tahu apa yang kerajaan buat. Mereka hanya tahu apa yang kerajaan tidak buat menerusi media sosial. Itu yang jadi persepsi negatif itu kerana apa (maklumat) kerajaan lakukan tidak sampai ke bawah," katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata sesi dialog bersama masyarakat dan pengundi setiap kawasan perlu sentiasa diadakan untuk menjernihkan keadaan.

"Masyarakat telah berubah dan mereka sedia berinteraksi dengan pemimpin atasan jika diberi peluang, secara terbuka, secara berhadapan," katanya memberikan contoh sesi dialog perdana Transformasi Nasional 2050 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai kaedah terbaik mendekati kumpulan sasar.

Sementara itu, Ketua Penerangan Puteri UMNO Haryaty Hamdzah berkata pendedahan kajian oleh Ahmad Zahid itu perlu dilihat secara positif berserta tindakan sewajarnya.

Bagaimanapun, katanya, ia sepatutnya menjadi tamparan hebat kepada seluruh jentera parti untuk memastikan segala usaha perlu dilipatgandakan demi kemenangan BN dalam pilihan raya umum akan datang.

Di pihak pergerakan Puteri, Haryati berkata mereka akan memberikan tumpuan yang lebih terhadap media sosial untuk menyampaikan fakta dan maklumat yang tepat kepada rakyat.

Ketua Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan Mohd Razlan Muhammad Rafii berkata pergerakan Pemuda sentiasa berterusan menangkis dakyah negatif dilapor pihak tidak bertanggung jawab.

"Kita memang ada kumpulan yang menangkis serangan fitnah seumpama ini. Kita dah bersiap siaga dengan cyber troopers, bukan untuk menyerang, tetapi beri penerangan untuk program-program yang kita lakukan," jelasnya.

-- BERNAMA