Kemelut 'pinjaman' kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Matunggong, Kota Marudu yang menjadi kontroversi baru-baru ini dianggap selesai selepas Parti Bersatu Sabah (PBS) membuat keputusan sebulat suara untuk terus kekal bersama Barisan Nasional (BN) Sabah dalam Mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi, petang tadi di Penampang.

Timbalan Presiden PBS, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata, perkara itu sudah dianggap selesai selepas campur tangan Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman yang menegaskan kerusi DUN N.4 adalah milik PBS pada pilihan raya umum nanti.

Malah meskipun terdapat suara daripada akar umbi yang mahukan PBS berdiri dengan bendera parti bagi pilihan raya umum kali ini beliau berkata, Mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi sudah memutuskan untuk terus kekal bersama BN dan berjanji akan menguatkan jentera parti itu.

"Selepas perbincangan dengan pucuk pimpinan PBS hari ini, kita sebulat suara memutuskan bahawa perkara itu sudah selesai susulan campur tangan Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman selaku Pengerusi BN Sabah.

"Penjelasan sudah diberikan dan kami menggangap masalah selesai. Kami kini dalam usaha memperkuatkan jentera parti dan menasihatkan semua ahli untuk bertenang selain fokus terhadap tugas membantu calon BN serta memastikan semua kerusi dimenangi," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan Majlis Mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi PBS di Donggongon, Penampang.

Baru-baru ini, ucapan Ahmad Zahid di Matunggong menyinggung ahli parti PBS apabila timbalan perdana menteri itu meminta PBS meminjamkan kerusi DUN berkenaan kepada UMNO selepas kegagalan mempertahankan kerusi tersebut pada PRU13.

Untuk rekod, PBS mempunyai status - quo dalam mempertandingkan sebanyak lima kerusi Parlimen dan 13 kerusi DUN di negeri ini bersempena PRU-14.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai pengumuman calon daripada PBS, Maximus berkata ianya akan diumumkan awal empat atau lima hari daripada pengumuman calon peringkat nasional nanti.

"Saya katakan, saya rasa lima hari sebelum pengumuman begitu dan ianya akan dikordinasikan dengan Pengerusi BN Negeri Sabah apabila beliau akan mengumumkan harinya nanti," katanya.