Usaha akan diambil bagi meredakan rasa kecewa yang dikatakan berlaku di Tanjung Malim, lantaran penyandang bagi kerusi Parlimen itu, Datuk Seri Ong Ka Chuan, digugurkan sebagai calon Barisan Nasional (BN).

Pengarah Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kampung Balun, Datuk Dr Kamarul Rashdan Salleh berkata, sebenarnya tidak timbul soal protes yang pernah ditimbulkan timbalannya, Shukor Ahmad, sebelum ini.

Menurutnya, kenyataan Shukor itu merupakan pandangan peribadinya, bukannya pandangan PDM Kampung Balun yang terdiri daripada Kampung Bantang, Kampung Balun dan Balun Baru.

“Kami tidak pernah mengadakan mesyuarat dan perbincangan yang memutuskan untuk menolak calon yang diputuskan oleh pucuk pimpinan parti.

"Sebaliknya, pendirian PDM Kampung Balun adalah jelas, kita menyokong semua calon yang diputuskan,” katanya kepada Astro AWANI di sini, hari ini.

Pada Rabu, Shukor dilaporkan kecewa dan wujud protes dalaman secara senyap membantah keputusan pucuk pimpinan parti yang menggantikan Ong dengan calon lain.

BACA: Protes senyap di kerusi Parlimen Tanjung Malim

Parlimen Tanjung Malim mempunyai tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) itu Sungkai, Slim dan Behrang.

BN mencalonkan Pengerusi MCA Perak, Datuk Dr Mah Hang Soon di Parlimen Tanjung Malim, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib (Slim), Datuk Rusnah Kassim (Behrang) dan Datuk V. Elango (Sungkai).

Kamarul Rashdan memberi jaminan bahawa beliau akan berusaha sedaya upaya untuk memujuk ahli parti yang tidak dicalon supaya sama-sama bekerja untuk memenangkan calon yang dinamakan.

Pada masa sama, beliau meminta jasa baik calon-calon untuk turut sama memujuk kumpulan itu, sekali gus mencapai kemenangan lebih besar dalam pilihan raya kali ini.

Mengenai dakwaan satu rombongan 16 buah bas ke Putrajaya, dikatakan disertai 640 ahli BN, termasuk jentera parti di Parlimen Tanjung Malim, Kamarul Rashdan menegaskan beliau tidak terlibat langsung.

Bagaimanapun, beliau yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian itu mengakui terkejut apabila diberitahu terdapat satu banner yang dibawa oleh rombongan itu, menyatakan sokongan kepadanya.

“Saya tidak terlibat langsung menaja atau memberi wang untuk rombongan itu. Yang saya mendapat maklum, (rombongan itu) hanya untuk menyatakan sokongan kepada Ong,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyanjung tinggi kenyataan Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir bahawa BN Perak tidak akan serta-merta menuding jari menyalahkan Ong dan dirinya sebagai dalang di sebalik perhimpunan membantah pencalonan kerusi Parlimen Tanjung Malim itu.