Pembinaan Universiti Teknologi Mara (UiTM) kampus Raub yang menelan belanja kira-kira RM220 juta di kawasan ini, membuktikan agenda memartabatkan anak-anak bumiputera dan pendidikan terus menjadi keutamaan kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN), kata Pengerusi BN Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurutnya, kewujudan kampus itu juga akan mengangkat lagi status Raub yang sebelum ini hanya dikenali sebagai bandar Musang King, atau lubuk emas.

“Dengan bilangan mahasiswa di sini seramai 3,000 orang, pensyarah dan kakitangan seramai 200 orang, Alhamdulillah, ini akan jadi satu magnet, besi berani boleh tarik pembangunan lain, kemudahan awam, perniagaan dan sebagainya.

"Malah Raub juga akan lebih tersohor. Bukan kerana durian Musang King sahaja atau lubuk emas, tetapi sudah ada kampus, yang begitu indah dan begitu berkualiti sekali,” katanya ketika berucap di Majlis Perasmian Kampus UiTM Cawangan Pahang, Kampus Raub, di sini hari ini.

Dengan penyempurnaan kampus itu, kata Najib, ia membuktikan komitmen kerajaan untuk memberi akses pendidikan kepada masyarakat setempat, semakin hari, semakin jelas.

“Kalau nak diukur dari segi bilangan mahasiswa, sudah mencecah 170,000 orang, dan bilangan alumni paling ramai, iaitu seramai 700,000. Dan ramai sudah pun hari ini berada di tempat-tempat yang penting dalam kerajaan, dan juga sebagai profesional dan juga sektor swasta.

“Inilah kejayaan kita, kejayaan untuk menentukan mobiliti sosial, tak kira latar belakang, daripada golongan mana, kawasan terpencil, kampung yang paling tersorok pun, hari ini ada peluang untuk memasuki institusi pengajian tinggi seperti UiTM,” katanya lagi.

Perdana Menteri berkata, beliau turut merasakan angin perubahan di Parlimen Raub, yang bakal memihak kepada BN.

"Saya datang ke Raub pada 4 Mei 2013 (untuk Majlis Pecah Tanah), sehari sebelum pembuangan undi…malangnya lepas itu kita kalah di Raub.

“Namun hari ini saya melihat suasana sudah banyak berubah. Bukan saja dewan ini penuh sehingga tak cukup tempat duduk. Orang politik kata kalau penuh dewan sampai tak cukup tempat duduk kira berjaya lah majlis itu. Tambah lagi di luar pun ramai. Sampai saya salam tadi pun, saya tengok, saya tenung biji mata mereka saya nampak dacing (lambang BN),” katanya.

Ujar Najib, pengundi harus bijak menilai, pihak mana yang selama ini membela nasib rakyat Malaysia, serta mengubah kehidupan mereka menjadi lebih baik.

“Kita boleh pilih atas apa jua pertimbangan, tapi pertimbangan yang patut kita utamakan, adalah sama ada pihak itu, boleh membawa kepada kehidupan kita lebih baik pada masa akan datang.

“Senang susah balik dekat siapa? Selama 60 tahun siapa di sisi kita, siapa yang biaya kita, siapa yang bawa pembangunan? Bukankah kerajaan BN,” katanya lagi.

Mengulas mengenai aku janji BN bagi PRU kali ini, Najib berkata, beliau akan memastikan masalah air di Raub dapat diselesaikan dengan cepat, sejurus BN mendapat kembali mandat yang kuat.

“Saya akan minta Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) untuk datang sini, selesaikan masalah air, di kawasan Raub ini sebab 10,000 akaun asyik putus bekalan air,” katanya lagi, sambil disambut sorakan hadirin.