Pemimpin yang tidak tersenarai sebagai calon pada Pilihan Raya Umum Ke -14 (PRU14) perlu membuktikan prinsip kesetiaan atau 'wala' mereka kepada parti bagi memastikan Barisan Nasional (BN) menang besar pada PRU14.

Timbalan Pengerusi BN Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pemimpin juga diingatkan supaya tidak merajuk tetapi berganding bahu membantu jentera parti dalam kempen pilihan raya.

"Maknanya kalau kita wala ini dan menghormati keputusan kepimpinan, semua daripada kita mesti membuat kerja untuk kemenangan BN sebab kemenangan itu kemenangan untuk semua serta bukan kemenangan kepada calon yang dipertandingkan.

"Ketika inilah (tidak tersenarai) mereka perlu membuktikan kesetiaan terhadap parti dengan membantu calon yang terpilih untuk mencapai kemenangan. Merajuk itu lumrah tetapi kena sedar tempat sedikit tetapi yang hendak bertanding itu ramai," katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Perjumpaan Perdana Veteran UMNO, di Padang Terap, siang tadi.

Sehubungan itu, beliau berharap tiada individu yang cuba untuk melakukan sabotaj dan khianat kepada parti pada pilihan raya umum kali ini hingga menyebabkan kesukaran kepada calon BN yang bertanding.