Pengundi muda mencari parti yang memperjuangkan agenda golongan itu dalam pelbagai aspek menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.

Exco Pemuda UMNO, Shahril Hamdan berkata, anak muda juga tidak memilih parti politik berasaskan etnik sebagai pilihan semasa mengundi nanti.

Jelasnya, orang muda kini lebih mementingkan kelangsungan dan kestabilan idea serta visi negara untuk 30 tahun akan datang.

"Saya melihat rata-rata pengundi akan mengundi berdasarkan isu, sama ada isu atau agenda mereka diperjuangkan oleh sesuatu parti politik tersebut.

"Kalau parti kami di bawah Barisan Nasional (BN) bukan UMNO, PPP, MIC, MCA dan sebagainya.

"Pengundi melihat parti mana yang perjuangkan agenda mereka dan mempunyai penyelesaian jangka masa panjang kepada mereka, itu penentu kepada undi," katanya selepas program Bridging The Gap : Millennials & Politicians di sini pada Isnin.

BACA: #MalaysiaMemilih: Sejauh mana pengaruh pengundi muda?

BACA: Pemuda BN sedia manifesto kecil untuk pengundi muda

Program anjuran KRA Group itu memberi penumpuan kepada pengundi muda dan suasana politik masa kini.

Selain Shahril, panel lain adalah Timbalan Pengarah Biro Strategik dan Dasar Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Wan Saiful Wan Jan dan setiausaha politik kepada Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua, Lim Yi Wei.

Sementara Pengarah Strategi KRA Group, Amir Fareed Rahim menjadi moderator forum.

Dalam pada itu, Wan Saiful memberitahu, pengundi muda mahukan satu perdebatan namun tidak sekali-kali membincangkan isu lampau.

Paling penting katanya adalah menyelesaikan masalah serta cabaran dilihat untuk menawarkan perkara yang diperlukan anak muda.

"Kalau kita lihat golongan muda hendak debat isu dasar dan polisi, bukan sentimen perkauman, ramai yang menuntut macam itu. Kalau lihat arah politik sekarang, kita tidak memenuhi permintaan golongan muda.

"Pengundi akan kecewa, tidak keluar mengundi, tidak rugi parti politik tetapi kepada negara," jelasnya.

Tambahnya, apa yang harus dilakukan segera adalah perdebatan matang dan bukan politik menakut-nakutkan serta berunsur perkauman.

Sementara itu, Yi Wei melihat faktor ekonomi serta kos sara hidup membelenggu anak muda masa kini.

"Saya rasa anak muda tidak mahu berbincang perkara etnik, mereka lebih bimbang ekonomi dan kos sara hidup.

"Anak muda sudah letih dengan politik 'saya kutuk kamu, kamu kutuk saya'. Anak muda kini lebih bersedia dengan pertandingan idea dan polisi," katanya.

Pengundi muda merangkumi hampir 40 peratus daripada jumlah keseluruhan pengundi pada PRU14 akan datang.