Kementerian Dalam Negeri (KDN) terbuka untuk membenarkan perhimpunan Pakatan Harapan diadakan pada Oktober ini sekiranya ia memenuhi syarat termasuk notis dan lokasi di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

"Jika memenuhi syarat, kerajaan terbuka untuk mengizinkan, tetapi jika tidak memenuhi syarat, perhimpunan itu tidak dibenarkan," kata Ahmad Zahid, yang juga Menteri Dalam Negeri mengulas mengenai rancangan Pakatan Harapan untuk menganjurkan perhimpunan pada 14 Okt.

Bercakap dalam sidang media selepas perhimpunan bulanan Kementerian Dalam Negeri di sini hari ini, beliau berkata kerajaan Barisan Nasional tidak akan merasa tergugat dengan perhimpunan Pakatan Harapan itu kerana parti pembangkang juga pernah menganjurkan perhimpunan Bersih sebelum ini.

"Kita tidak merasa perhimpunan ini akan menyebabkan majoriti senyap bersama dengan mereka, tetapi berharap majoriti senyap terus memberi kesinambungan sokongan kepada kerajaan memerintah," katanya.

Ditanya mengenai pembabitan Tun Dr Mahathir Mohamad dalam perhimpunan itu, Ahmad Zahid menyifatkan Pengerusi Pakatan Harapan itu sebagai seorang tidak yang berprinsip kerana beliau menentang sebarang rapat umum atau perhimpunan ketika menjadi Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri.

"Sekarang, apabila berada di seberang sana (pembangkang), beliaulah penganjur utama.

"Seseorang yang ada prinsip, di manapun berada sama ada mempunyai kedudukan atau tidak, prinsip itu harus dipertahankan dan patut diikuti," katanya.

Kepada soalan mengenai laporan keganasan dari Amerika Syarikat 2016 yang melaporkan Malaysia menggunakan undang-undang keselamatan negara untuk menahan individu daripada parti politik pembangkang, Ahmad Zahidi bertanya semula kepada wartawan itu siapakah yang kena tahan, dan apabila dijawab Maria Chin (Pengerusi Bersih) ditahan tahun lalu, timbalan perdana menteri menjelaskan:

"Maria Chin ditahan bukan kerana perbezaan politik. Yang ada penahanan politik adalah pada era Mahatir apabila ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri) dilaksanakan, termasuklah dikenakan kepada saya pada 1998. Zaman Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi) dan Datuk Seri Najib Tun Razak tiada penangkapan semata-mata pegangan politik.

"Kerajaan kita lebih telus dan terbuka dalam mendepani perbezaan politik," katanya.

-- BERNAMA