Semangat perpaduan dalam kalangan anggota UMNO dari dahulu hingga kini berupaya mengatasi permasalahan yang timbul, sekali gus mengukuhkan parti.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata sebelum ini parti itu pernah melalui cabaran-cabaran yang lebih hebat.

“Saya ulangi bahawa cabaran yang dilalui UMNO suatu ketika dahulu lebih hebat.

“Tetapi oleh kerana semangat perpaduan telah diwujudkan dengan baik, masalah itu dapat diatasi dan perspektif bertukar daripada negatif kepada positif,” kata Ahmad Zahid kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas majlis perjumpaan khas bersama UMNO Johor di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, di sini pada Ahad.

Menurutnya, dalam keadaan sekarang, beliau amat menghargai pendirian anggota UMNO Johor yang menyatakan ketaatan pada parti.

Ujar beliau, kepimpinan adalah menjadi tonggak kepada asas pegangan parti itu.

Jelas Ahmad Zahid, perkara itu harus ada dalam UMNO kerana pemimpin datang dan pergi, begitu juga dengan isu datang dan pergi tetapi dokongan untuk kepimpinan parti serta kerajaan harus diteruskan.

Beliau berkata, pengalaman lalu mengajar mereka agar asas kesatupaduan itu dijadikan sebagai tonggak untuk mengatasi segala permasalahan.

Sementara itu, Ahmad Zahid yang juga Naib Presiden UMNO menyambut baik pandangan positif UMNO Johor dengan meletakkan tiga elemen penting untuk menghadapi cabaran dan ujian kelangsungan UMNO.

Katanya, ia dilihat mampu menangani gangguan perjalanan UMNO secara keseluruhan khususnya di negeri itu.