Rakyat tidak memerlukan pembangkang yang misinya hanya untuk mengurangkan majoriti kerusi Barisan Nasional (BN) di dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak kali ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, janji pembangkang untuk membela rakyat juga tidak kesampaian kerana mustahil untuk mereka menubuhkan kerajaan.

"Pemilihan kerajaan adalah berdasarkan parti yang boleh membela masa depan dan memastikan kemajuan untuk rakyat.

"Kita mahu pembangunan hebat untuk Sarawak. Kita tidak mahu pembangkang yang cakap sahaja mahu kurangkan majoriti, dia janji pandai sebab dia tidak boleh tubuh kerajaan.

"Awal-awal lagi dia kata tidak boleh tubuh kerajaan, kita perlukan kerajaan yang kuat untuk membela masa depan," katanya semasa berucap pada Majlis Penyampaian Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18 Kanun Tanah negeri di sini hari ini.

Setakat Mac, sebanyak 152,977 surat hak milik tanah Seksyen 18 dengan keluasan lebih kurang 288,453.44 hektar bagi tujuan pertanian di seluruh Sarawak dilaksanakan menerusi pelbagai dasar sedia ada kerajaan iaitu menurut Bahagian Ketiga Kanun Tanah Negeri, kampung tradisional dan operasi penyelesaian.

Surat itu akan mengecualikan pemilik dari dikenakan premium, tidak dikenakan cukai tanah tahunan, tidak dikenakan kos pengukuran, tidak dikenakan kos penyediaan surat hak milik tanah dan tiada tarikh tamat iaitu pegangan selama-lamanya.

Dalam pada itu Najib turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM10 juta untuk pembinaan jambatan sepanjang 100 meter di Selampit.