Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) tidak boleh hanya berjuang demi kaum Melayu.

Pengerusinya Tun Dr Mahathir Mohamad berkata pada masa kini perjuangan sebegitu tidak boleh dijadikan sebagai landasan bagi parti.

"Jadi untuk pemimpin badan bukan kerajaan seperti Datuk Ibrahim Ali yang inginkan parti ini untuk menjadikan perjuangan ini sebagai perjuangan parti, kami tidak boleh berbuat sedemikian," jelas Dr Mahathir.

BACA: 'Saya ibarat perempuan cantik, semua orang nak saya' - Ibrahim Ali

Katanya lagi, Ibrahim perlu memperjelaskan kedudukan sebenarnya berhubung penglibatannya dengan parti.

"Ada sahaja ahli Persatuan Pribumi Perkasa Malaysia yang menyertai parti kami," kata Dr Mahathir dalam sidang media itu dalam sidang media selepas majlis memperkenalkan 19 ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) PPBM di Putrajaya.

Beliau diminta memberi komen terhadap kenyataan Ibrahim yang tidak ingin bersama PPBM walaupun dilihat rapat dengan Dr Mahathir.