Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Slim bakal menyaksikan penjajaran baharu kerjasama parti-parti politik, kata penganalisis Prof Madya Dr Hamidin Abd Hamid.

Menurut Dr Hamidin, penjajaran baharu itu boleh dilihat dari calon PRK Dun Slim yang akan disokong oleh parti-parti tertentu.

Beliau berpendapat, apa yang berlaku di PRK Dun Slim juga akan membentuk penjajaran baharu kerjasama parti-parti politik pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

"PRK Dun Slim ini merupakan satu wadah di mana berlakunya satu penjajaran baharu dalam konteks politik Malaysia.

"Di mana dan bagaimana calon daripada UMNO akan disokong oleh Barisan Nasional (BN) akan disokong oleh Perikatan Nasional (PN) dan akan disokong juga oleh Muafakat Nasional (MN). Jadi itu kita lihat gabungan yang akan menyokong calon-calon tertentu.

"Bagi PH (Pakatan Harapan) pula, Amir Kusyairi akan disokong oleh parti Pejuang (Parti Pejuang Tanahair) yang baru dibentuk oleh (Tun) Dr Mahathir Mohamad dan Pakatan Harapan.

"Jadi kita melihat penjajaran-penjajaran ini penting kerana secara rasminya Pejuang tidak berada dalam PH dan belum didaftarkan tetapi menunjukkan kerjasama atau muafakat diberikan untuk menyokong calon-calon tertentu," katanya kepada Astro AWANI.

Mengulas lanjut, Dr Hamidin berkata, keputusan UMNO dan Pejuang meletakkan calon muda bertepatan dan mengambil kira demografi politik semasa.

Beliau berpendapat, pemilihan calon muda juga merupakan satu hala tuju baharu parti-parti politik dalam konteks menyediakan kepimpinan baru.

"Salah satu persoalan utama dalam politik Malaysia ialah persoalan kepimpinan terutama kepimpinan dalam peringkat lapisan kedua iaiatu bagi mereka yang menjadi Ahli Parlimen dan Dewan Undangan Negeri.

"Saya kira dengan meletakkan calon muda ini amat bertepatan bukan sahaja melihat kehendak pengundi tetapi juga masa depan dalam konteks politik negara," katanya lagi.

Pemangku Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim, Mohd Zaidi Aziz diumumkan sebagai calon BN bagi PRK Dun Slim yang akan berlangsung 29 Ogos ini.

Pejuang yang diterajui Dr Mahathir menamakan peguam Amir Khusyairi Mohamad Tanusi sebagai calon mereka.

PRK DUN Slim diadakan susulan kematian Ahli Dewan Undangan negeri (Adun) Slim, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib, pada 15 Julai lalu.

Semasa Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Allahyarham Mohd Khusairi yang bertanding mewakili BN menang dengan majoriti 2,183 undi menewaskan calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang bertanding atas tiket PKR, Mohd Amran Ibrahim dan calon Pas, Muhammad Zulfadli Zainal.