Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyerahkan sepenuhnya kepada Lembaga Disiplin parti untuk menentukan tindakan yang akan diambil terhadap Ketua Bersatu Bahagian Ayer Hitam, Datuk Osman Sapian, yang didakwa menyokong calon Bebas.

Timbalan Presiden Bersatu Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, Lembaga Disiplin parti terlebih dahulu perlu menyiasat dan memanggil Osman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas sebelum membuat sebarang keputusan.

"Kita ada mendengar dan melihat video tular yang menunjukkan Osman memberi sokongan kepada calon Bebas di (Pilihan Raya Kecil atau PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim.

"Tentunya masalah dan perkara seperti ini, jika dilakukan oleh ahli daripada sesebuah parti, perlu dibawa kepada Lembaga Disiplin dan sebagainya.

"Jika ada laporan berkenaan dengan perkara itu, Lembaga Disiplin perlu menyiasat dan memanggil beliau untuk memberikan keterangan.

"Beliau akan dipanggil, dan apa bentuk tindakan yang diberikan, terletak pada lembaga tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media pada majlis kunjungan hormat Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad di Pejabat Menteri Besar, di sini, hari ini.

BACA: Slim Memilih: Bersatu Johor tiada kuasa ambil tindakan ke atas Osman Sapian

Ahmad Faizal diminta mengulas video yang tular sejak Sabtu, menunjukkan Osman dipercayai sedang berucap berkempen menyokong calon Bebas iaitu Amir Khusyairi Mohamad Tanusi, ketika PRK DUN Slim.

Dalam video itu, Osman mengakui masih ADUN Kempas atas tiket Bersatu dan ahli Bersatu namun mendakwa parti tersebut telah menyeleweng daripada perjuangan asalnya.

Sebelum ini, Osman mendakwa kehadirannya di Slim sekadar untuk bertemu rakan lama sambil makan angin dan menegaskan tindakan beliau itu tiada kaitan dengan politik.