SANDAKAN:Parti Bersatu Sabah (PBS) mengumumkan tidak akan bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Batu Sapi yang dijadualkan pada 5 Disember depan.

Presidennya, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, berkata keputusan itu dibuat Biro Politik parti dalam mesyuarat baru-baru ini.

Menurutnya, ia diputuskan selepas menilai situasi pandemik COVID-19 yang semakin membimbangkan di Sabah.

“PBS melihat keselamatan dan kesihatan rakyat sebagai perkara yang perlu diberi keutamaan ketika ini.

“Sabah terus merekodkan jumlah kes positif COVID-19 yang tinggi dalam negara.

“Justeru, PBS memutuskan untuk tidak bertanding walaupun ia adalah kerusi yang menjadi kubu kuat PBS,” katanya dalam satu kenyataan media di sini, hari ini.

Katanya, keputusan itu turut dimaklumkan kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN).

Beliau berkata, PBS akan menyokong calon dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sekiranya mereka bertanding pada PRK berkenaan.

Sebelum ini, beberapa parti termasuk Barisan Nasional (BN), Parti Cinta Sabah (PCS), Pakatan Harapan (PH) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) mengumumkan tidak akan bertanding pada PRK terbabit.

PRK itu diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Liew Vui Keong disebabkan jangkitan paru-paru pada 2 Oktober lalu.

Mendiang Vui Keong memenangi kerusi itu atas tiket Parti Warisan Sabah (WARISAN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 23 November depan sebagai hari penamaan calon, diikuti pengundian awal pada 1 Disember dan pengundian biasa pada 5 Disember depan.