Polis telah membuka 23 kertas siasatan daripada 32 laporan polis yang diterima sejak hari penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-11, Isnin lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata proses kempen pada masa kini berjalan dengan aman walaupun berlaku beberapa insiden kecil.

Katanya daripada jumlah kes dilaporkan, 10 kes akan dirujuk kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk tindakan susulan.


"Kita sedang menyiasat 23 kes antaranya seperti merosakkan poster, menurunkan bendera, satu kes pecah tingkap kereta dan curi wang serta satu kes bergaduh.

"Lain-lain kes kita rujuk ke SPR di bawah Akta SPR," katanya pada majlis PDRM bersama rakyat di Masjid Darul Ibadah, Batu Kawa di sini hari ini.

Tambah beliau, antara kes yang dirujuk ke SPR termasuk tidak menggantungkan bendera di tempat yang betul.

Beliau sebelum itu mengadakan perjumpaan dengan anggotanya di Dewan Pahlawan Briged Sarawak, Pasukan Gerakan Am Batu Kawa di sini.

Khalid turut merakamkan terima kasih kepada penduduk Sarawak yang dilihat lebih matang dalam berhadapan isu politik semasa terutama semasa PRN.

Menyentuh mengenai 20 kawasan yang dikenal pasti sebagai kawasan panas pada PRN-11, Khalid berkata setakat ini kawasan itu masih dalam keadaan terkawal dengan tambahan jumlah anggota keselamatan di kawasan-kawasan berkenaan.