Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan bertindak berdasarkan petunjuk daripada segala siasatan yang dijalankan terhadap kes skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Mohamad Fuzi Harun memberitahu pihaknya mengambil pendekatan tunggu dan lihat untuk menyelesaikan satu persatu siasatan sebelum meneruskan siasatan susulan.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan media sama ada polis akan memanggil bekas pengerusi Tabung Haji (TH), Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim untuk disiasat.

“Kita tak dapat apa-apa petunjuk untuk kita jalankan siasatan ketika ini.

“Siasatan pun saya dimaklumkan bahawa ia dijalankan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), jadi biarlah pihak SPRM jalankan siasatan daripada perspektif mereka dahulu, dan kita akan tunggu perkembangan lanjut,” jelasnya.

Begitu juga apabila ditanya sama ada akan turut memanggil bekas KPN, Tan Sri Khalid Abu Bakar bagi tujuan itu.

“Setakat ini tak ada apa-apa tindakan yang diambil kepada Tan Sri (Khalid), jadi kita pun tak dapat apa-apa petunjuk berkaitan perkara ini.

“Jadi pihak mana yang akan perlu ambil tindakan, kita tengok, tunggu dan lihat,” katanya.

Selasa lalu, kediaman Abdul Azeez di Subang, Selangor; Baling, Kedah dan salah sebuah pejabatnya di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur digeledah SPRM.

BACA: Wang tunai, barang kemas isteri Azeez Abdul Rahim dirampas SPRM

Ia membawa kepada rampasan wang tunai hampir RM500,000, lebih 20 utas jam tangan, lebih 20 mata wang asing pelbagai negara antaranya Taka (Bangladesh), Rufiya (Maldives), Riyal (Arab Saudi) dan juga Pound Sterling dengan nilai tukaran sekitar RM1.2 juta.