Hasil kajian Merdeka Centre menunjukkan rakyat negeri Selangor berpuashati dengan prestasi kepimpinan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, kata Exco Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan Datuk Teng Chang Kim.

Malaysian Insider melaporkan, Teng berkata hasil kajian yang dijalankan dari 16 Mei hingga 6 Julai menunjukkan 54% responden bersetuju kerajaan negeri berada pada hala tuju yang betul manakala 28% lagi berkata sebaliknya.

"Sebanyak 72% responden berpuas hati dengan kualiti hidup dalam masyarakat manakala 25% lagi tidak.

"Seramai 3,472 responden berpandangan kerajaan negeri berada pada hala tuju yang betul manakala 12% memuji pentadbiran negeri dan 11% lagi gembira dengan pembangunan pesat negeri," Teng dipetik sebagai berkata oleh Malaysian Insider.

Merdeka Centre melakukan kajian ke atas 6,436 responden itu meliputi 8 kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) membabitkan 56% Melayu, 29% Cina dan 14% India.

Antara PBT yang terlibat ialah Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) dan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj).

Kira-kira 800 responden terlibat dalam setiap PBT membabitkan mereka yang berumur 21 tahun ke atas.

Teng juga menjelaskan hasil kajian tersebut juga menunjukkan 62% responden berpuas hati dengan perkhidmatan PBT yang diukur berdasarkan perkhidmatan kaunter, telefonis, aduan dan sistem dalam talian.

Katanya, isu tempatan yang paling menjadi perhatian responden adalah infrastruktur awam serta jenayah dan keselamatan awam.

"Isu semasa yang mendapat perhatian responden ialah bekalan air dan elektrik, kos kehidupan tinggi, jenayah dan keselamatan awam.

"Jumlah peratusan ini agak menggembirakan kerana kaji selidik ini dijalankan ketika isu bantahan cadangan pembinaan Lebuh Raya Kinrara-Damansara (KIDEX) dan isu rampasan Bible bahasa Melayu mendapat liputan luas media," katanya.

Desas-desus mengatakan Abdul Khalid akan melepaskan jawatannya selepas Aidilfitri mula tersebar sejak seminggu yang lalu dan dikatakan nama Adun Bukit Antarabangsa, Mohamed Azmin Ali disebut-sebut hampir pasti akan mengambil alih jawatan itu.

Namun, Abdul Khalid dalam satu sidang media semalam menegaskan beliau akan terus memegang jawatan menteri besar Selangor hingga tamat penggal ini biarpun mendapat tekanan dari Pakatan Rakyat.

Majlis Presiden Pakatan Rakyat dikatakan akan mengadakan satu mesyuarat sebelum Aidilfitri bagi membincangkan kedudukan Abdul Khalid dan nama pengganti beliau.