Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin menyerahkan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) untuk membuat keputusan berhubung rayuan pembatalan MyPPP.

"Ini keputusan RoS, saya serah kepada RoS...saya tidak terlibat supaya kalau pun ada rayuan, ada berasas, atau nak dipertimbangkan semula, itu keputusan RoS yang buat, bukan saya yang buat," katanya selepas melancarkan buku tulisan Ahli Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad berjudul '9 Mei 2018 Catatan Dari Garis Depan' di sebuah pusat beli-belah di sini, pada Sabtu.

Beliau mengulas kenyataan Tan Sri M. Kayveas yang meminta RoS mengambil tindakan sewajarnya terhadap rayuan yang dikemukakan beliau kepada jabatan itu mengenai pembatalan MyPPP.

Menurut Kayveas, beliau telah mengemukakan rayuan kepada Muhyiddin melalui RoS pada 15 Jan lalu, iaitu sehari selepas RoS membatalkan pendaftaran MyPPP pada 14 Jan.

MyPPP sebelum ini berdepan krisis kepemimpinan apabila terdapat dua kem yang mendakwa menerajui parti berkenaan.

Ketika ini MyPPP terpecah kepada dua kepimpinan iaitu di bawah Presiden, Datuk Seri Maglin D'Cruz yang dipilih selepas mesyuarat agung tahunan (AGM) pada Mei lalu selain Kayveas yang mengaku bahawa beliau masih presiden yang sah.

Mengenai calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata pihaknya telah menerima beberapa nama calon dikemukakan oleh Bahagian Hulu Langat dan Bersatu negeri Selangor.

Beliau berkata nama-nama calon berkenaan akan dirujuk kepada Pengerusi Bersatu Tun Dr Mahathir Mohamad untuk dimuktamadkan.

"Kita akan meletakkan calon yang paling layak, berkelulusan tinggi dan diterima masyarakat...tetapi masa untuk diumumkan (calon) itu terlalu awal, kita akan beritahu apabila tiba masa yang sesuai," katanya.

PRK DUN Semenyih akan diadakan pada 2 Mac depan, dengan hari penamaan calon ditetapkan pada 16 Feb.

PRK itu diadakan berikutan kematian penyandangnya, Bakhtiar Mohd Nor pada 11 Jan lepas akibat serangan jantung.

Pada PRU14, Allahyarham Bakhtiar, 57, yang mewakili Bersatu menewaskan tiga calon lain, Datuk Johan Abd Aziz (Barisan Nasional), Mad Shahmidur Mat Kosim (PAS) dan S. Arutchelvan (PSM) dengan majoriti 8,964 undi.

-- BERNAMA