Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad yang ditahan awal pagi ini, telah dibebaskan selepas polis gagal mendapatkan reman.

Peguam Khalid, Michelle Yesudas dalam twitnya berkata Khalid bersama-samad engan dua pelajar yang ditahan berhubung perhimpunan #KitaLawan telah dikeluarkan hari ini.

Khalid telah ditahan pihak polis di rumahnya pada jam 2.30 pagi, Ahad dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Dang Wangi.





Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala MPS Zainuddin Ahmad berkata Khalid ditahan di bawah Seksyen 143 Kanun Keseksaan.

Pada Sabtu, Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Tian Chua telah ditahan semula berhubung perhimpunan #KitaLawan dan dibawa ke Balai Polis Jinjang.

Turut ditahan ialah Setiausaha Pengelola Parti Keadilan Rakyat, Fariz Musa.

Semalam, perhimpunan #KitaLawan disertai kira-kira 500 orang yang berarak dari Masjid Jamek sebelum berkumpul di hadapan pusat beli-belah Sogo, kira-kira pukul 4.10 petang.

Mereka bersurai sepenuhnya kira-kira pukul 7 petang di lokasi terakhir berhampiran KLCC.