Pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah memberitahu mahkamah bahawa dia akan merujuk isu perlembagaan di Mahkamah Persekutuan terhadap tuduhan yang dihadapinya mengikut Akta Perhimpunan Aman (APA) 2012 berhubung perhimpunan #KitaLawan di ibu negara, Mac lepas.

Perkara itu dimaklumkan oleh peguam Gooi Hsiao Leung ketika kes itu disebut di hadapan Majistret Nur Azura Murah, di sini hari ini.

Selain Chin, tiga lagi iaitu Pengerusi Jingga 13, Mohd Fariz Abd Talib @ Musa, Pengurus Sekretariat Bersih 2.0, Mandeep Singh dan Anggota Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin akan turut membuat permohonan sama.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin memohon tarikh perbicaraan memandangkan pihaknya bersedia untuk memulakan perbicaraan kes itu selain kesemua dokumen berkaitan kes itu telah diserahkan kepada pihak pembelaan.

Bagaimanapun, mahkamah menetapkan 7 Dis ini untuk sebutan semula kes itu bagi membolehkan kesemua tertuduh itu merujuk persoalan undang-undang itu ke Mahkamah Persekutuan.

Mengikut pertuduhan, keempat-empat mereka didakwa bersama dengan orang lain yang masih bebas menyertai suatu protes jalanan bagi tujuan tertentu di hadapan kawasan air pancut persimpangan Jalan Tun Perak dan berakhir di hadapan Kompleks Sogo di sini.

Mereka didakwa menyertai protes jalanan itu bagi tujuan antaranya Reformasi dan Bebaskan Anwar dan Bebas Berhimpun Bebas Bersuara antara 3.15 petang hingga 6 petang, 28 Mac lepas.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret lain, tiga lagi individu iaitu Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Teja, Chang Lih Kang, 35, Pegawai Khas Anggota Parlimen Batu, Rozan Azen Mat Rasip, 38, dan anggota PKR, Lee Chean Chung, 34, akan turut memfailkan permohonan sama ke Mahkamah Persekutuan.

Sebelum ini, ketiga-tiga mereka mengaku tidak bersalah menyertai protes jalanan bermula di hadapan Sogo dan berakhir di kawasan air pancut persimpangan Jalan Tun Perak di sini antara 4.30 petang dan 5.05 petang, 21 Mac lepas.

Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 4(2)(c) APA 2012 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(3) akta sama membawa hukuman denda tidak melebihi RM10,000, jika sabit kesalahan.

Majistret Ashraf Rezal Abdul Manan menetapkan 7 Dis ini untuk sebutan semula kes.