Anggota Parlimen Labuan Datuk Rozman Isli mengesahkan tidak akan mempertahankan jawatan Ketua Bahagian Umno Labuan dalam pemilihan parti pada 30 Jun ini.

Senator Datuk Bashir Alias yang juga timbalan Rozman dijangka akan bertanding untuk jawatan itu.

Rozman berkata beliau kini sedang memberi tumpuan kepada rancangan pembangunan ekonomi Labuan untuk jangka pendek dan panjang.

Beliau berkata berdasarkan senario politik semasa, beliau lebih suka memainkan peranan aktif dalam komuniti dan ekonomi bagi melihat Labuan setanding dengan negeri lain di negara ini.

"Saya merancang untuk bertemu Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Shafie Apdal bagi melihat rancangan mereka dalam membangunkan ekonomi Labuan," katanya.

-- BERNAMA