LABUAN: Bekas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Labuan Mohd Rafi Ali Hassan menang tanpa bertanding jawatan Ketua UMNO Bahagian Labuan selepas penyandangnya Datuk Bashir Alias memutuskan untuk tidak mempertahankan jawatan berkenaan pada pemilihan parti di peringkat bahagian berkenaan.

Kemenangan itu juga susulan daripada pemimpin bahagian berkenaan yang membuka jalan untuk beliau meneraju UMNO Labuan mengambil kira pengalaman luas dalam politik peringkat tempatan dan nasional.

Mohd Rafi, 45, turut mengisytiharkan bertanding bagi merebut jawatan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO bagi penggal 2023-2026.

Bekas Setiausaha Politik kepada Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor itu berkata beliau akan menggunakan pengalaman berkhidmat sebagai Ketua Pergerakan Pemuda Labuan untuk menyumbang dan memperkukuh parti.

"Saya akan menggunakan pengalaman ketika di peringkat akar umbi sejak 2008 bagi membentuk barisan kepimpinan yang mantap dalam menguruskan parti serta berkhidmat kepada masyarakat di pulau ini," katanya kepada Bernama hari ini.

Bashir kini ialah Timbalan Ketua UMNO Bahagian manakala Datuk Khalid Abd Ghani sebagai Naib Ketua.

Khalid berkata seramai 43 calon daripada pelbagai cawangan parti itu bertanding untuk merebut jawatan 20 ahli jawatankuasa bahagian.

Setiausaha UMNO Bahagian Labuan Mohd Dzulfaizal Ab Manan mengesahkan Niswati Tarji turut mempertahankan jawatan Ketua Wanita UMNO Bahagian selepas menang tanpa bertanding.

Pemilihan UMNO bermula pada 1 Feb hingga 18 Mac dengan Persidangan Tahunan UMNO Cawangan dan Pemilihan Jawatankuasa Cawangan, Wanita, Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Puteri Cawangan ialah pada 1 hingga 26 Feb lepas.

Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa Wanita UMNO, Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian bersama Pemilihan Exco Wanita, Exco Pergerakan Pemuda dan Exco Pergerakan Puteri UMNO Pusat bakal diadakan serentak di seluruh negara pada 11 Mac.

Mesyuarat Perwakilan dan Pemilihan Jawatankuasa UMNO Bahagian bersama Pemilihan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO akan diadakan serentak di seluruh negara pada 18 Mac ini.

-- BERNAMA