Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman menyifatkan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebagai seorang pemimpin yang sombong dan angkuh serta hanya mementingkan diri sendiri.

Ini kerana sepanjang Mohd Shafie memegang portfolio Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW), beliau tidak pernah mengutamakan negeri Sabah, kata Musa.

Menurutnya, sepanjang menjadi menteri, Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) itu juga tidak melihat Sabah sebagai satu kepentingan yang perlu diberi perhatian apatah lagi melihat kesusahan yang dihadapi oleh rakyat negeri itu.

Namun selepas keluar UMNO, Mohd Shafie cuba beretorik pula dengan menjalankan aktiviti keluar masuk kampung yang sebelum ini tidak pernah dilakukan oleh beliau.

Musa turut mempersoalkan kewibawaan Mohd Shafie dalam menjadi pemimpin berikutan sepanjang menjadi menteri pusat, beliau tidak pernah mengangkat anak jati Sabah untuk dilantik sebagai pegawai di bawah kementerian beliau; berbeza dengan pemimpin Sabah lain yang lain.

"Tanya dia, dalam akhbar saya juga telah bangkitkan berulang kali, apabila menjadi menteri pusat dan memegang portfolio KKLW serta mempunyai peruntukan beribu juta, dia tidak pernah datang berjumpa dengan saya untuk berbincang mengenai pembangunan di Sabah, sombong dan angkuhnya dia," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian Program Pemukiman Tatap BN Pemimpin Tertinggi PBS, UPKO DAN PBRS Pilihan Raya Umum Ke-14, Di Hotel Klagan 1borneo, hari ini.

Tambah Musa, slogan yang dilaung-laungkan oleh Warisan iaitu "Sabah for Sabahan" juga merupakan slogan yang ditiru dari parti komponen Barisan Nasional di Sabah yang lebih dahulu memperjuangkan hak-hak Sabah.

Katanya, tindakan Warisan dalam melaungkan slogan tersebut dilihat sebagai satu langkah untuk mengaburi rakyat dan juga untuk menarik sokongan rakyat semata-mata.

"Dia hanya meminjam kembali slogan 'Sabah for Sabahan' kerana parti PBS, UPKO dan PBRS lebih dahulu memperjuangkan 'Sabah for Sabahan'. Dia hanya mengikut, atau orang bilang meniru," katanya.