Masalah maklumat bantuan tidak sampai kepada golongan sasar di luar bandar menyebabkan kebanyakan mereka tidak berjaya keluar daripada tampuk kemiskinan.

Pengarah Institut Penyelidikan dan Pengurusan Kemiskinan, Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Prof Madya Dr Wan Ahmad Amir Zal Wan Ismail pada masa sama berkata, kesibukan bekerja adalah antara penyebab mereka tidak peka dengan program bantuan kerajaan.

"Banyak juga program-program kerajaan mereka tidak tahu. Mungkin mereka tidak mendapat maklumat atau mereka tidak mengendahkan sebab tidak ambil tahu untuk meningkat kehidupan mereka," katanya kepada Astro AWANI.

Jelasnya, penyediaan pelbagai kemudahan dan bantuan kepada penduduk luar bandar oleh kerajaan bermatlamat melahirkan modal insan untuk jangka panjang.

"Hasil kajian kami, kebanyakan penduduk luar bandar berminat dengan kemahiran tertentu, tetapi pemilikannya agak rendah. Kerajaan banyak sediakan platform untuk mereka untuk belajar seperti 1AZAM.

"Usaha melahirkan modal insan ini adalah untuk jangka panjang dan ia juga bertujuan untuk membantu masyarakat luar bandar keluar daripada kepompong kemiskinan," ujarnya lagi.

Tambah beliau, penubuhan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) juga banyak memberi perubahan kepada penduduk luar bandar dan alternatif untuk keluar daripada kemiskinan.

"Kalau di luar bandar, kita tengok banyak peluang-peluang atau aset tertentu boleh dibuat seperti bercucuk tanam, tetapi kita kena lihat juga bukan semua terlibat dengan pertanian serta penternakan, ada yang terlibat dengan perniagaan, sektor kerajaan dan sebagainya," kata beliau.

Dalam pada itu katanya, faktor agama tidak sepatutnya menjadi halangan kepada usaha untuk bangkit dan keluar daripada kepompong kemiskinan.

"Ada dua perkara. Satu dia salah faham. Syukur itu sudah pasti sebagai hamba tuhan. Dalam Islam memang kita kena berusaha untuk mengubah hidup.

"Malah, dalam Islam juga kita kena tunai zakat. Secara automatik, Islam suruh kita kaya. Maknanya, ia konsep untuk bersyukur. Jadi untuk kehidupan, kita kena usaha," ujarnya.