Setiausaha Barisan Nasional (BN) Negeri Sabah, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan menafikan dakwaan beberapa pihak bahawa masalah dalaman menjadi faktor kepada penangguhan pelancaran manifesto BN Sabah.

Menurutnya, jika masalah dalaman yang menjadi faktor kepada penangguhan pelancaran manifesto itu, tempoh dua hari belum tentu dapat menyelesaikan masalah berkenaan.

Pelancaran manifesto BN Sabah yang sepatutnya diadakan esok pada 11 pagi ditangguhkan pada 25 April ini pada 7.30 petang.

"Tiada sebab berhubung penangguhan berkenaan, mereka menghubungi saya dan memaklumkan perkara itu kerana hari Rabu sama baik dengan Ahad, jika masalah dalaman yang menjadi punca, kenapa hanya perlu dua hari untuk selesaikannya?" katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas merasmikan Program Jelajah Pendidikan Bumiputera Peringkat Negeri Sabah di Dewan Masyarakat Manggatal, hari ini.

Abdul Rahman ketika merasmikan Program Jelajah Pendidikan Bumiputera Peringkat Negeri Sabah di Dewan Masyarakat Manggatal, hari ini. - Astro AWANI
Program jelajah itu merupakan aspirasi Perdana Menteri Malaysia yang menyasarkan kumpulan yang kurang berkemampuan, terutama penduduk di kawasan pedalaman dan setakat ini hampir 60,000 orang pelajar yang telah mendapat manfaat melalui program berkenaan.

Mengulas mengenai dakwaan bahawa UMNO akan diharamkan dalam masa terdekat berikutan penangguhan pemilihan parti itu, beliau berkata, dari segi perundangan, UMNO tidak mempunyai masalah dan dakwaan itu hanya cubaan pihak tertentu yang cuba menjejaskan BN terutama menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

"Sudah beberapa kali kita sudah jelaskan bahawa dari segi perundangan tidak ada masalah. Kita mempunyai pandangan-pandangan peguam dan juga penasihat berkenaan dengan kedudukan UMNO. Bagi saya, mereka boleh mencabar keputusan itu tetapi mahkamah yang akan memutuskannya. Kita memang berpandangan bahawa UMNO tidak membuat apa apa kesalahan dalam soal ini," katanya.

"Kita juga maklum bahawa ketika era pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad, UMNO juga pernah diharamkan. Jadi, inilah taktik mereka, dulu pernah diharamkan dan sekarang mereka sekali lagi mahu UMNO diharamkan," tambahnya.