Kerajaan akan menambah punca modal, peluang, lesen dan kontrak kepada kaum wanita termasuk di kampung, ujar Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tun Dr Mahathir Mohamad.

Katanya, ini disebabkan golongan wanita lebih serius dan berjaya berbanding kaum lelaki menerusi Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang diperkenalkan kerajaan.

"Dalam percubaan Dasar Ekonomi Baru kita dapati kaum wanita lebih serius dan berjaya dari kaum lelaki. Di mana-mana sahaja kita dapati kejayaan yang tinggi didapati oleh kaum wanita.

"Ada di antara mereka yang sudah jadi jutawan pun hanya dengan membuat keropok lekor, tudung kepala dan alat kecantikan wanita. Mereka juga mengeluarkan makanan biasa yang tahan lama dan dibungkus dengan cukup menarik.

"Ternampak jelas jika diberi peluang kaum wanita mampu berjaya lagi," katanya dalam ucapan dasar Pengerusi Bersatu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada Sabtu.

Kata Perdana Menteri, antara usaha yang akan dijalankan bagi meningkatkan lagi kebolehan golongan wanita termasuk penambahan latihan dan pelajaran.

"Keutamaan akan diberi kepada catitan urusan perniagaan. Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) akan diperbesarkan dan contoh-contoh yang baik dalam perniagaan wanita akan dibantu lagi untuk membesarkan perniagaan mereka.

"Mereka yang berjaya akan dibantu lagi. Pertandingan antara mereka akan diadakan dan hadiah akan diberi kepada yang berjaya besar," katanya.

Mengulas lanjut mengenai DEB, Dr Mahathir berkata, jarak perpisahan antara kaum pada dasar itu menjadi terlalu luas kerana pesaing melonjak lebih jauh dan pantas berbanding Bumiputera.

Tegas beliau, ini berpunca daripada sikap kaum Melayu yang meletak kesalahan kepada orang lain tanpa memperbetulkan diri sendiri untuk menyelesaikan masalah.

"Sebaliknya jika kita akui bahawa ada juga kesalahan pada diri kita, maka bagi yang ikhlas dan jujur, pembetulan boleh dibuat oleh kita. Kita berkuasa ke atas diri kita, tidak ke atas orang lain.

"Saya, tidak ingin sebut di sini apakah kesalahan kita. Tetapi kita perlu akui bahawa banyak sudah tindakan yang dibuat untuk memperbaiki prestasi kita oleh kerajaan tetapi kejayaan amatlah menyedihkan," katanya.