Kepimpinan UMNO Selangor diingatkan untuk berfikir dan sedar akan kedudukan mereka sebagai pembangkang di negeri itu.

Perkara ini penting bagi memastikan UMNO Selangor mampu menarik kembali sokongan rakyat terhadap Barisan Nasional (BN), dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke 14 akan datang.

"Berfikirlah sebagai pembangkang bukan berfikir sebagai pemerintah. Walaupun Perdana Menteri dan Kerajaan Persekutuan ialah UMNO dan BN.

"Berfikir, bertindak dan bergeraklah sebagai parti pembangkang untuk pastikan rakyat kembali kepada kita," katanya ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Petaling Jaya Selatan di sini malam tadi.

Ahmad Zahid yang juga Naib Presiden UMNO berkata usaha meyakinkan rakyat bukan tugas yang patut diambil sambil lewa.

"Penting untuk kita menangi minda dan hati pengundi kerana maruah, keikhlasan dan kepercayaan tidak boleh dibeli dengan duit.

"Tidak ada orang lain yang boleh memenangkan UMNO di Selangor melainkan ahli-ahli sendiri," tambahnya.

Justeru sokongan dan dokongan kepada BN perlu bagi membentuk kerajaan baharu di Selangor dalam memberi khidmat kepada rakyat.

Turut hadir di majlis itu Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor Datuk Seri Noh Omar.