Berita  | Sukan

Bellator 221: Michael 'Venom' Page akur dengan kekalahan pertamanya

Bellator 221: Michael 'Venom' Page akur dengan kekalahan pertamanya
Page atau lebih dikenali sebagai MVP, berjaya dikalahkan oleh petarung dari Brazil, Douglas Lima yang juga merupakan bekas juara walterweight Bellator. - Foto Instagram/@michaelvenompage
SELEPAS memenangi 14 perlawanan seni bela diri campuran (MMA) secara berturut-turut, bintang sensasi dari Britain, Michael 'Venom' Page akhirnya akur dengan kekalahan pertamanya di Bellator 221 pada Ahad.

Page atau lebih dikenali sebagai MVP, berjaya dikalahkan oleh petarung dari Brazil, Douglas Lima yang juga merupakan bekas juara walterweight Bellator.

Lima hanya memerlukan dua pusingan sahaja untuk menundukkan MVP dengan cara 'knockout'.

Perlawanan ini merupakan perlawanan separuh akhir pada kejohanan Bellator Welterweight Grand Prix.
Walaupun terkenal dengan sikap yakinnya yang tinggi, MVP tampil dengan mesej yang positif dan merendah diri dalam menerima kekalahan pertamanya.

"Jika saya perlu menerima satu kekalahan dalam karier saya, saya gembira ia kekalahan kepada petarung ini. @phenomlima seorang artis seni bela diri yang hebat dan individu yang baik," kata MVP menerusi laman Instagramnya.

"Saya merasakan saya mengawal keseluruhan perlawanan, namun saya membuat kesilapan dengan berdiri dengan cara yang salah dan pada tahap ini, anda satu kesalahan pun sudah cukup dan saya telah memerima akibatnya," tambah MVP lagi.

"Tetapi saya masih tersenyum dan lebih bermotivasi untuk kembali beraksi dan membetulkan kesilapan ini.

"Terima kasih kepada semua yang telah menghantar mesej positif dan terima kasih juga kepada pembenci yang mendorong saya untuk kembali seperti kata-kata Arnold Schwarzenegger, I'll be back (Saya akan kembali)," katanya lagi.

Kemenangan Lima ke atas MVP membawanya ke pentas akhir dalam Grand Prix ini.

Dia akan bertemu dengan pemenang bagi pertarungan antara Rory MacDonald dengan Neiman Gracie.