Berita  | Sukan

Copa America: Alves ganti Neymar selaku kapten Brazil

Copa America: Alves ganti Neymar selaku kapten Brazil
Dani Alves ganti Neymar selaku kapten pasukan Brazil di Copa America. - Foto Stadium Astro
NEYMAR bukan lagi kapten Brazil apabila Dani Alves akan memakai lilitan di lengan itu dalam kempen Copa America di laman sendiri bulan depan.

Bintang Paris Saint-Germain (PSG), Neymar, telah dinamakan sebagai kapten tetap Brazil oleh ketua jurulatih, Tite, sejak September lalu, namun dia akan digantikan dengan rakan sepasukannya yang berusia 36 tahun, Alves.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan malam tadi, Konfederasi Bolasepak Brazil (CBF) berkata: "Keputusan itu telah dimaklumkan kepada Neymar oleh Tite pada hari Sabtu."
Pengumuman itu tiba selepas tamatnya musim menghampakan buat Neymar bersama juara Ligue 1, PSG, di mana ketua jurulatih, Thomas Tuchel, turut meminggirkan bekas penyerang Barcelona itu daripada tugasan kapten.

Neymar yang menjaringkan 23 gol dalam kesemua kejohanan musim ini selepas pulih daripada kecederaan kaki, berdepan penggantungan tiga perlawanan gara-gara menyerang seorang penyokong pasukan lawan ketika tewas kepada Rennes dalam final Coupe de France, bulan lalu.

Pemain berusia 27 tahun itu turut terbeban dengan harapan tinggi yang diletakkan di bahunya ketika Selecao kandas dalam suku akhir Piala Dunia tahun lalu.

Brazil akan menjadi tuan rumah Copa America bagi edisi ini dengan juara lapan kali itu yang kandas di perlingkat kumpulan dalam edisi 2016 diundi sekumpulan dengan Bolivia, Peru dan Venezuela dalam Kumpulan A.

Skuad kendalian Tite itu akan memulakan aksi dengan berdepan Bolivia di Sao Paulo, 14 Jun ini.

Sila klik di sini untuk layari Stadium Astro