Menerusi penentuan sepakan penalti, skuad bola sepak negara tewas 1-1 (4-2) menentang Kanada sekali gus gagal untuk mengisi kelompok 14 terbaik di Sukan Universiti Dunia (Universiade), Gwangju.

Pengendali skuad, Datuk Ong Kim Swee menyifatkan bahawa keletihan merupakan faktor utama skuadnya tewas sekali lagi.

"Ramai antara pemain kami yang keletihan" jelasnya.

"Saya terpaksa membuat dua pertukaran apabila Amirul dan Kumaarhan mengalami kecederaan tetapi ia ganggu rentak kami pada separuh kedua" katanya.

Jaringan gol sendiri pemain Kanada, Alex Haddad memberi pendahuluan kepada Malaysia pada minit ke-37.

Namun pada babak kedua, Ian Christopher Greedy membenamkan gol penyamaan yang dicari Kanada pada minit ke-59.

Selang tiga minit kemudian, penyerang, A.Thamil Arasu berpeluang meletakkan skuad negara kembali dihadapan namun tiang menjadi penghalang.

Keputusan 1 sama kekal sehingga tamat 90 minit masa permainan dan perlawanan diheret sehingga ke penentuan sepakan penalti.

Dalam aksi yang mendebarkan itu, tuah lebih memihak kanada dengan pasukan itu berjaya menyempurnakan setiap peluang sambil skuad negara gagal dalam dua percubaan menerusi Mohammad Nursallam Zainal Abidin dan Nazirul Naim Che Hashim.


Kegagalan berada dalam kelompok 14 terbaik menyaksikan skuad negara terpaksa beraksi dalam penentuan tempat ke-15/16, pada 13 Julai ini.