Penjaring gol kemenangan Belanda, Klaas-Jan Huntelaar mendedahkan rekod buruk dalam sepakan penalti hampir mendorongnya menolak mengambil tanggungjawab itu dalam keadaan getir ketika menentang Mexico.

Tonggak kelab Schalke itu berada dalam persimpangan kerana sedar kegagalannya dalam empat daripada lima sepakan penalti sebelum ini, tetapi akhirnya dia memberanikan diri.

"Saya tidak merancang untuk menyepaknya," katanya kepada NIS.

"Arjen yang memegang bola kemudian bertanya 'awak nak mengambilnya?' Saya hampir menukar fikiran sebab saya gagal dalam sepakan terakhir.

"Kemudian dipengaruhi adrenalin, saya fikir ini waktu terbaik untuk saya mengatasinya."

Pengendali skuad Oranje, Louis van Gaal mengakui beliau mengambil kesempatan ketika rehat tiga minit (cooling period) untuk memberi arahan kepada pasukannya.

"Saya menukar taktikal saya semasa cooling break. Ya, ia memberi kelebihan." - Astro ARENA