TONI Kroos berkata Jerman mendapat apa yang selayak untuknya dalam Piala Dunia di samping mengakui dia dan rakan sepasukan sangat sedih dan sangat marah selepas mereka disingkirkan berikutan kekalahan 2-0 kepada Korea Selatan.

Selepas tewas kepada Mexico dalam perlawanan pembukaan Kumpulan F, Jerman menewaskan Sweden tetapi tersisih di tangga terakhir selepas bolos dua gol dalam masa kecederaan dalam perlawanan ketiga dan terakhir mereka sebelum pulang berdepan kemarahan ramai.

Ia adalah kali pertama negara itu gagal melepasi peringkat kumpulan Piala Dunia dalam tempoh 80 tahun.

Kroos, yang menyumbat gol kemenangan menakjubkan ke atas Sweden, tidak berselindung dengan rumusannya terhadap kegagalan Jerman.

“Saya tidak tahu jika ia hari paling gelap dalam bola sepak Jerman tapi ia pastinya satu detik hitam,” kata Kroos kepada wartawan. “Saya tidak fikir ada sesiapa di Jerman menjangkakan ini langsung – malah, saya tidak fikir ada sesiapa di dunia menjangkakannya.

"Jelas sekali kami menjangkakan Piala Dunia akan menjadi satu kejohanan yang panjang buat kami dan satu-satunya yang boleh saya katakan ialah selepas tiga perlawanan, kami tidak mampu bermain dengan terbaik di sebarang peringkat.

"Kesudahannya, kami tidak melakukan secukupnya. Jika kami tidak dapat menjaringkan gol dalam 90 minit menentang Korea, maka kami tidak berhak untuk terus mara. Kami mendapat apa yang selayaknya untuk kami.

“Kami bukannya tidak bernasib baik. Ia bukan berkisar kepada nasib malang,” tambahnya.

Kroos mengakui Jerman beraksi di bawah tahap terbaik mereka dalam ketiga-tiga perlawanan peringkat kumpulan, ditambah dengan kurangnya kesungguhan pemain.

Kemenangan 3-0 Sweden ke atas Mexico, katanya, turut menggandakan tekanan ke atas Jerman untuk mencari gol ke atas Korea.

“Penghujungnya, kami semua terpaksa naik ke atas untuk mencari gol dan mereka menjaringkan gol ke atas kami. Mengetahui Sweden sedang mendahului, kami terpaksa mengambil lebih risiko.

“Kami mendapat beberapa peluang tapi tidak memanfaatkan semuanya, yang menyimpulkan seluruh kejohanan ini buat kami,” katanya lagi.