Lebih 10,000 orang menyertai Karnival Olimpik Pulau Pinang 2019 yang pertama kali di adakan di negeri ini.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata penganjuran karnival ini telah membuka peluang kepada orang ramai khususnya warga Pulau Pinang untuk menjadi sebahagian daripada "Olympic Movement".

Menurutnya, penganjuran karnival ini adalah selaras dengan visi Pulau Pinang 2030 untuk mewujudkan negeri berorientasi kekeluargaan, hijau dan pintar untuk inspirasi negara.

"Penyertaan orang ramai ini seiring dengan tujuan Olympic Movement iaitu mendidik generasi muda melalui sukan yang mempraktikkan nilai-nilai murni Olimpik ke arah kesejahteraan negara," katanya dalam ucapan pada Majlis Penutupan Karnival Olimpik Pulau Pinang 2019 di Padang Kota Lama di sini hari ini.

Terdahulu, atlet-atlet yang telah mengharumkan nama negara di sukan Olimpik telah hadir untuk menyempurnakan larian obor termasuk Safarudin Zain, bekas atlet berbasikal negara yang bertanding di Tokyo 1964 , Datuk Krishnan Tambu, bekas atlet olahraga yang bertanding di Mexico 1968 dan Munich 1972, Jiwa Mohan bekas pemain hoki yang bertanding di Sydney 2000.

Atlet lain ialah Cheng Chu Sian, bekas atlet memanah yang bertanding di Beijing 2008 dan London 2012, juara badminton perempuan perseorangan Olimpik remaja dunia di Buenos Aires 2018 Goh Jin Wei, pemenang pingat perak beregu campuran badminton di Olimpik Rio de Janeiro 2016 dan lagenda badminton negara Datuk Lee Chong Wei.

-- BERNAMA