SIBU: Kontinjen tuan rumah, Sarawak akan menurunkan kira-kira 1,000 atlet untuk mengambil bahagian dalam kesemua 37 jenis sukan yang dipertandingkan pada Sukan Malaysia (SUKMA) ke-21 yang dijadual berlangsung dari 17 hingga 24 Ogos depan.

Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata selain atlet yang telah diletakkan dalam pasukan bayangan, Sarawak juga bakal menyenaraikan atlet harapan daripada Temasya Sukan Sarawak (SUKSAR) Edisi Ketiga yang melabuhkan tirainya pada Khamis.

"Kita akan umumkan acara yang akan menjadi sasaran kutipan pingat apabila kita semakin menghampiri SUKMA kelak. Ada antara atlet kita yang masih di luar negara dan ada yang berada dalam pasukan bayangan, namun belum disenarai pendek," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mewakili Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg merasmikan penutupan SUKSAR Edisi Ketiga di Stadium Tertutup Sibu pada Khamis.

Abdul Karim berkata selain Kuching, turut menjadi venue acara yang dipertandingkan pada temasya itu kelak ialah Samarahan, Sri Aman, Serian, Betong, Sibu, Mukah, Bintulu dan Miri.

Menurutnya ini akan memberi peluang kepada seluruh rakyat Sarawak menyaksikan SUKMA dan memberikan sokongan kepada atlet yang bertanding.

"Dengan adanya sokongan padu rakyat Sarawak serta minda para atlet yang betul, saya yakin Sarawak mampu menjuarai SUKMA. Kali terakhir kita jadi juara temasya ini pada 1994," katanya.

Mengenai persediaan pegawai bagi penganjuran sukan itu, beliau berkata residen dan pegawai yang telah didedahkan dalam penganjuran SUKSAR akan dilibatkan dalam SUKMA kelak.

-- BERNAMA