PEMAIN tengah Indonesia, Evan Dimas, menyuarakan keazamannya untuk menewaskan skuad bawah 22 tahun negara apabila kedua-dua pasukan bertemu dalam aksi separuh akhir Sukan SEA Ke-29, Sabtu ini.

Evan ditemui media sebaik berakhir perlawanan di antara Indonesia dan Kemboja di Stadium Shah Alam malam ini, dengan kemenangan berpihak kepada skuad Garuda itu 2-0.

Kemenangan itu meletakkan Indonesia di tangga kedua Kumpulan B, sekaligus mengesahkan kemaraan ke peringkat kalah mati -- berdepan Malaysia selaku juara kumpulan A -- mengiringi juara kumpulan, Thailand, yang menewaskan Vietnam 3-0 di Selayang.

BACA: Skuad bola sepak Indonesia jumpa Malaysia di separuh akhir

Bagaimanapun, aksi di Shah Alam dicemari insiden pergaduhan yang berlaku sebaik perlawanan berakhir melibatkan pemain dan pegawai kedua-dua pasukan Indonesia dan Kemboja.

"Mereka melakukan provokasi dengan apa jua cara tetapi perkara seperti ini adalah biasa," kata Evan.

"Sebagai pemain bola sepak, kami tidak sepatutnya bertindak sedemikian. Namun, sebagai manusia, pasti kami ingin mempertahankan bangsa bermati-matian," tambahnya.

Ditanya mengenai aksi berdepan Malaysia, Sabtu ini, Evan melihat ia lebih daripada sekadar satu perlawanan bola sepak.

"Lawan Malaysia bukan soal main bola sepak tetapi ini demi harga diri bangsa. Kami akan bermain bermati-matian. Ini soal harga diri bangsa," katanya berulang-ulang.

Tonton acara-acara Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 secara langsung dan percuma di Astro Go.