Skuad bola sepak kebangsaan mencatat kekalahan kedua dalam perlawanan persahabatan antarabangsa selepas tewas 0-2 kepada Thailand di Stadium SCG, Nonthaburi Rabu malam.

Skuad Harimau Malaya sebelum ini tewas 0-1 kepada Vietnam di Stadium My Dinh, Hanoi Sabtu lepas.

Pada perlawanan di Thailand itu, skuad kebangsaan menerima asakan bertali arus daripada pasukan tuan rumah sebaik sahaja perlawanan bermula dan hasilnya Thailand berada di depan pada minit ke-26 menerusi jaringan pemain pertahanannya, Prayat Bunya selepas menanduk masuk sepakan penjuru daripada rakan sepasukan.

Tersentak dengan gol tersebut, skuad kebangsaan memperkemaskan jentera serangan menerusi Mohd Safee Mohd Sali dan Azamuddin Mohd Akil, namun kekebalan benteng pertahanan skuad Gajah Putih itu menyukarkan mereka untuk mencari gol penyamaan.

Pemain penyerang tuan rumah, Ahtit Suntornpit kemudian memastikan kemenangan mutlak pasukan bimbingan Winfried Schafer menerusi gol kedua pada minit ke-81 menerusi sepakan kencang daripada luar kotak penalti Malaysia.

Skuad Harimau Malaya akan kembali ke tanah air untuk meneruskan aksi persahabatan bertemu Hong Kong di Stadium Shah Alam pada 14 Nov ini.