ZINEDINE ZIDANE tidak pasti masa depannya di Real Madrid sambil mengakui bahawa tidak pernah tahu apa yang boleh berlaku di Santiago Bernabeu.

Gergasi Sepanyol itu mempunyai reputasi memecat jurulatih tanpa berfikir panjang, dengan Jose Mourinho dan Carlo Ancelotti antara yang ditunjukkan jalan keluar dalam tempoh lima tahun yang lalu meskipun berjaya menjulang kelab berkenaan.

Dan seperti yang dijanjikan, Madrid berdepan kesukaran untuk mencabar gelaran liga musim ini kerana mereka tercicir 14 mata dengan seteru ketat, Barcelona -- walaupun Los Blancos memiliki kelebihan satu perlawanan.

Madrid kekal dalam saingan Liga Juara-Juara (UCL) dan Copa del Rey, begitupun Zidane menerima hakikat bahawa dia hanya perlu menumpukan tugasannya dalam tempoh enam bulan ini.

Apabila ditanya berapa lamakah dia mahu melatih kelab itu, Zidane berkata: "Ia menyedihkan tetapi di sini anda tidak pernah tahu.

"Saya akan cuba mengakhiri musim ini dengan cara yang terbaik kerana kami mempunyai banyak peluang untuk memenangi sesuatu lagi. Ia benar-benar memotivasikan saya dan pasukan saya tidak dapat melihat lebih jauh daripada enam bulan ke hadapan."

Madrid menderita kehilangan Karim Benzema gara-gara kecederaan hamstring dan penyerang Perancis itu mungkin tersisih sehingga tiga minggu.

Sementara itu, Zidane bersikap terbuka dalam pasaran perpindahan kali ini namun masih enggan mendedahkannya.

"Mungkin ketika ini saya akan menjelaskannya dalam bahasa Perancis agar ia lebih mudah untuk dijelaskan.

"Kami boleh mengikat pemain baru sehingga 31 Januari ini, kemungkinan itu ada dan apa sahaja boleh berlaku.

"Bagaimanapun, seperti yang saya katakan sebelum ini, yang paling penting bagi saya ialah saya sangat gembira dengan skuad yang sedia ada. Apa sahaja yang berlaku, sama ada lebih baik atau lebih buruk, saya yang membina skuad ini dan saya yang bertanggungjawab untuk itu.

"Saya bertanggungjawab atas pilihan saya dan semua yang saya lakukan, saya tidak akan menyalahkan sesiapa jika keadaan tidak bagus, seperti yang berlaku dalam sesetengah permainan.

"Kami ada di sini, kami masih bersaing dalam tiga kejohanan dan saya mengatakannya dengan jelas dan tegas.

"Maka pada Jun nanti, kita akan lihat apa yang berlaku tetapi hari ini kami masih berada di sini dan kami mempunyai kedudukan yang baik, itu pasti," katanya.