MELAKA UNITED, yang kini berada zon penyingkiran Liga Super, tidak pernah menunding jari kepada bekas ketua jurulatih Eric Williams atas prestasi buruk pasukan itu selepas melepasi saingan pertengahan musim ini.

Presiden Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA), Datuk Seri Idris Haron berkata kegagalan itu bukan berpunca daripada corak latihan dan strategi yang diatur oleh jurulatih semata-mata malah melibatkan kombinasi semua pihak secara keseluruhan dalam pasukan.

"Saya telah baca apa yang diluahkan oleh Williams, mungkin beliau rasa kecewa apabila dijadikan sebagai alasan atas kegagalan skuad Melaka United musim ini," katanya ketika diminta mengulas mengenai dakwaan bekas pengendali skuad Hang Tuah itu bahawa terdapat kepincangan dalam pengurusan MUSA.

Saya fikir Willams salah faham bahawa pemecatannya ada kaitan dengan kegagalan pasukan itu, namum saya tidak beranggapan sedemikian, kata Idris, yang juga Menteri Besar, pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri, di sini hari ini.

MU memecat jurulatih kelahiran Australia itu awal bulan lepas bagi memastikan pasukan itu mampu kembali memberi saingan dan kekal dalam Liga Super selepas hanya mampu dua kemenangan dan lima seri daripada 12 perlawanan.

Kini, MU menduduki tangga kedua tercorot dengan 12 mata selepas 16 perlawanan.

Bagaimanapun, dalam saingan Piala Malaysia musim ini, MU masih berpeluang memburu slot suku akhir selepas menduduki tangga kedua dengan enam mata selepas tiga perlawanan dalam Kumpulan C.

Pengendali berusia 61 tahun itu dilantik menggantikan Mat Zan Mat Aris sebagai jurulatih baharu MU dengan kontrak selama setahun selepas pasukan itu menjuarai Liga Perdana 2016 dan layak beraksi Liga Super musim ini.

Dalam pada itu, Idris mengucapkan terima kasih atas sumbangan Williams selama berada bersama pasukan itu.

Beliau berkata pasukan itu perlu bekerja keras jika ingin kekal dalam Liga Super musim depan dalam baki enam perlawanan dalam saingan musim ini.

-- BERNAMA