JOSE Mourinho menuntut para pemainnya untuk bangkit daripada kekalahan 4-0 kepada Chelsea, mencabar mereka untuk membuktinya 'kelelakian' mereka.

Mourinho terpaksa mengharungi 90 minit yang mengecewakan di Stamford Bridge apabila bekas pasukannya meraih kemenangan besar ke atas United.

Chelsea hanya memerlukan 30 saat untuk meledak gol pembukaan menerusi percubaan Pedro Rodriguez sebelum Gary Cahill, Eden Hazard dan N'Golo Kante memastikan kekalahan ketiga musim ini buat pasukan pelawat, meletakkan skuad bimbingan Mourinho di tangga ketujuh liga.

United bakal bertemu Manchester City dalam saingan Piala EFL pusingan keempat pada Rabu.

Mourinho berkata tiada ruang buat pemainnya untuk bersembunyi pada perlawanan akan datang.

"Kami terpaksa mengharungi waktu yang sukar. Kami kehilangan mata minggu ini dan kami hanya seri 1-1 dengan Stoke. Kami tidak boleh kehilangan mata lagi.

"Saya tidak berkata perlawanan seterusnya adalah mudah, tetapi kami bakal bertemu Burnley, Swansea, West Ham, Sunderland, dan Middlesbrough - ini merupakan perlawanan yang perlu kami menangi.

"Pasukan-pasukan lain akan turut kehilangan mata, jadi ini merupakan masa untuk bertindak balas dan tiada tempat buat pemain untuk bersembunyi.

"Kami benar-benar sedih, tetapi beraksi di liga ini adalah bukan untuk kanak-kanak, dan saya mahu United membuktikan bahawa mereka adalah lelaki."