JULIAN Draxler percaya Mesut Ozil akan menjadi pemain paling penting buat Jerman dalam Piala Dunia kali ini.

Ozil mengharungi musim yang kurang konsisten bersama Arsenal dan gagal membantu pasukan menamatkan saingan dalam kelompok empat terbaik untuk kembali beraksi dalam Liga Juara-Juara (UCL).

Pemain berusia 29 tahun itu telah tampil sebanyak 90 kali buat skuad kebangsaan tetapi pemain tengah Paris Saint-Germain (PSG), Draxler, percaya Ozil adalah salah seorang pemain yang paling kreatif buat Jerman.

"Terlalu banyak kritikan terhadap Ozil yang gagal menampilkan aksi cemerlang sepanjang musim lalu," kata Draxler.

"Tetapi anda perlu menyedari dia adalah seorang pemain yang paling kreatif dalam skuad Jerman dan saya yakin Ozil akan menampilkan aksi cemerlang dalam saingan ini.

"Kemahiran teknikalnya amat menakjubkan. Ozil akan tampil dengan aksi terbaik ketika pasukan memerlukannya," ujarnya.

Jerman memiliki rekod cemerlang dalam kejohanan utama dan Draxler mahu pasukannya meneruskannya ketika berdepan Mexico.

"Mexico tidak pernah menewaskan Jerman. Kami berharap dapat meneruskan rekod cemerlang itu dan memastikan tidak tewas ketika berdepan mereka."

Penyandang juara itu akan berdepan Mexico malam ini sebelum bertemu Sweden dan Korea Selatan dalam baki aksi Kumpulan F.