Persatuan sukan harus mengamalkan sikap yang lebih terbuka untuk menerima kritikan mahupun cadangan bagi memperbaiki prestasi setiap atlet.

Demikian saranan Bekas Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Tan Sri Annuar Musa.

Annuar yang juga penasihat persatuan bola sepak Kelantan, Kafa berkata prestasi atlet bukan sahaja dipantau oleh jurulatih, pengurus mahupun presiden persatuan sukan terbabit tetapi menjadi perhatian umum.

Pandangan Annuar itu disuarakan selepas menjadi panel forum kebebasan bersuara dalam arena sukan anjuran Universiti Malaya pada Rabu.

Beliau menambah persatuan sukan perlu menerima pandangan serta idea daripada orang ramai agar mutu sukan dapat diperbaiki ke tahap yang lebih baik.

Kenyataan Annuar itu turut disokong setiausaha agung Majlis Olimpik Malaysia, (MOM) Datuk Sieh Kok Chi.

Kok Chi berkata kebebasan menyuarakan pendapat sering disalahertikan oleh persatuan sukan hari ini.

Lantas beliau berpandangan sudah tiba masa untuk persatuan sukan menerima perubahan khususnya dalam soal kebebasan bersuara.