KUALA LUMPUR: Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) menggantung perlawanan Liga bola sepak utama Indonesia, Liga 1 selama seminggu susulan rusuhan bola sepak di Stadium Kanjuruhan Kabupaten Malang, Jawa Timur Indonesia pada Sabtu malam.

Ketua Umum PSSI, Mochamad Iriawan dalam kenyataan berkata, pihaknya sedia memberi kerjasama kepada pihak berkuasa Indonesia untuk menyiasat insiden berkenaan.

Iriawan turut menyifatkan kejadian yang mengorbankan hampir 200 individu itu sebagai sangat mencemarkan imej bola sepak Indonesia.

"PSSI kesal dengan tindakan penyokong pasukan Arema FC.

"Kami berdukacita dan meminta maaf kepada keluarga korban serta semua pihak di atas insiden tersebut," katanya dalam kenyataan di laman web PSSI, pada Ahad.

BACA: LAPOR LANGSUNG: Angka korban meningkat dalam rusuhan perlawanan bola sepak Stadium Kanjuruhan

Iriawan berkata, PSSI turut menubuhkan pasukan penyiasat dan telah mengarahkan segera ke lokasi kejadian.

Dalam masa yang sama, beliau berkata PSSI turut melarang pasukan Aema FC daripada menganjurkan sebarang perlawanan sepanjang musim Liga 1 2022/2023.

Angka korban dilaporkan meningkat kepada hampir 200 orang termasuk dua anggota polis akibat rempuhan ketika rusuhan antara pasukan Arema FC dan Persebaya Surabaya.

Memetik Kompas.com, Ketua Polis Jawa Timur, Inspektor Jeneral Nico Afinta berkata penyokong Arema meluru ke dalam padang selepas pasukan mereka tewas 2-3 kepada Persebaya Surabaya, menyebabkan polis terpaksa melepaskan gas pemedih mata bagi meredakan ketegangan.

Begitupun, difahamkan pemedih mata yang dilepaskan menyebabkan penyokong berkenaan cuba mengelakkan sehingga berlaku rempuhan dan terpijak penonton lain.

Selain itu, ramai penyokong dilapor mengalami sesak nafas.

Rusuhan berlarutan sehingga ke luar stadium dengan sekurang-kurangnya lapan kenderaan polis mengalami kerosakan.