Saingan Liga Malaysia yang ditangguhkan sejak 16 Mac lalu akibat pandemik COVID-19 bakal bersambung pada 26 Ogos depan.

Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan, berkata keputusan itu dibuat selepas mengambil kira banyak perkara termasuk tempoh persiapan pasukan bertanding.

Tambahnya, Ahli Lembaga Pengarah MFL percaya tarikh baharu bersesuaian bagi semua pasukan selepas kerajaan membenarkan sesi latihan fasa dua bermula 15 Julai lalu.

"Untuk memulakan kembali Liga Malaysia 2020 yang tertangguh sejak 16 Mac lalu, beberapa perkara perlu dipatuhi.

"Antaranya setiap stadium atau venue perlawanan hendaklah berdaftar dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan disahkan oleh MFL serta wajib menjalani proses nyahkuman dan disenfeksi," katanya.

Jelasnya lagi, Komisioner Perlawanan lantikan MFL akan membuat pemeriksaan stadium atau venue perlawanan sebelum liga dimulakan.

Beliau berkata, prosedur operasi standard (SOP) mengenai pengelolaan perlawanan akan diedarkan oleh MFL kepada semua pasukan tidak lama lagi.

"Bagi memastikan kelancaran Liga Malaysia 2020, MFL juga semalam sudah mengadakan pertemuan dengan Jawatankuasa Pengadil FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) bagi membincangkan persiapan dan SOP pertandingan.

"Apa yang pasti, kita memang sudah bersedia untuk menyambung semula saingan Liga Malaysia musim ini,” katanya dalam satu kenyataan MFL pada Jumaat.