BEKAS juara berganda UFC, Conor McGregor mengumumkan akan kembali bertarung di gelanggang Octagon pada awal tahun depan.

Bercakap kepada sidang media di Moscow, Rusia pada Khamis, bintang MMA dari Ireland itu menyatakan hasrat ingin bertarung pada 18 Januari di T-Mobile Arena, Las Vegas, Amerika Syarikat.

"Tarikh tu dah dipersetujui. Saya tak kisah siapa lawan saya," katanya.

Selain itu, McGregor turut memaklumkan dia ingin bertarung sebanyak tiga kali pada tahun yang sama dan ingin mencabar pemenang bagi pertarungan Nate Diaz dengan Jorge Masvidal.

Seterusnya, petarung berusia 31 tahun itu mahu bertarung pula dengan pemenang perlawanan Khabib Nurmagomedov dengan Tony Ferguson.

BACA: UFC Fight Night: Maia vs Askren in Singapore: Who will emerge as the best grappler?

Dia juga inginkan pertarungan tersebut berlangsung di Moscow.

"Saya akan fokus kepada perlawanan. Saya tidak akan minum alkohol," katanya lagi.

Kali terakhir McGregor bertarung ialah dengan juara lightweight UFC dari Rusia, Khabib Nurmagomedov pada Oktober 2018 dalam acara UFC 229, di mana dia tewas menerusi 'submission' pada minit 3.03 pusingan keempat.

Selepas perlawanan, timbul kekecohan yang menyebabkan McGregor dan Khabib didenda dan digantung pertarungan oleh Suruhanjaya Atlet Negeri Nevada (NSAC).

McGregor didenda sebanyak AS$50,000 (RM205,355) dan digantung enam bulan, manakala Khabib pula didenda AS$500,000 (RM2,053,953) dan digantung selama sembilan bulan.