PENERJUN negara, Ahmad Amsyar Azman, mengetepikan rakan senegara, Ooi Tze Liang, untuk meraih pingat emas dalam acara 1 meter papan anjal sebentar tadi.

Pusat Akuatik Nasional Bukit Jalil terus menjadi lubuk pungutan pingat emas buat Malaysia yang diteruskan menerusi acara 1 meter papan anjal lelaki.

Amsyar, yang meraih tempat kedua dalam saingan 3m papan anjal, mempamerkan terjunan yang mantap untuk memungut 384.00 mata bagi mengesahkan emas manakala rakan senegara, Tze Liang, di tempat kedua dengan 368.60 mata.

Penerjun Singapura, Mark Lee Han Ming, meraih gangsa dengan catatan 350.55 mata.

Ini merupakan kali pertama acara ini sekali lagi dipertandingkan sejak 10 tahun lalu yang dimenangi oleh Yeoh Ken Nee (416.05 mata).