DATUK Ramlan Askolani di pihak pengadu menganggap Pesuruhjaya Sukan (PJS) telah mengambil tindakan telus dalam menangani kemelut dalaman Kongres Ke-31, Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA).

Menerusi surat bertarikh 22 Februari 2019, persatuan itu dituntut melaksanakan kongres yang tertangguh sejak November tahun lalu itu sebelum atau pada 31 Mei 2019.

Beliau menegaskan keputusan itu memberi ruang kepada ahli gabungan untuk menentukan hala tuju yang lebih baik buat persatuan itu dan pasukan Kuala Lumpur.

"Apa yang ditakutkan kalau kami benar-benar 'gentleman'.

"Kalau berdasarkan situasi di luar negara, ini membabitkan soal prestasi (pasukan).

"Dalam keadaan sekarang, Kuala Lumpur dah jatuh. Tidak usahlah fikir soal jawatan dan kepentingan peribadi.

"Lebih elok jika kami fikirkan tentang bagaimana untuk menaikkan semula prestasi Kuala Lumpur," kata bekas pemain kebangsaan itu.

Terdahulu, Kongres KLFA Ke-31 terpaksa ditangguhkan PJS ekoran wujud bantahan dalam kalangan ahli gabungan yang tidak berpuas hati dengan proses pencalonan kongres itu.

Timbalan yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Rashid Hasnon, kekal menjadi pilihan 'kem kedua' untuk jawatan presiden.

"Orang seperti Rashid seorang yang komited.

"Apatah lagi dia sendiri bermain bola sepak, dia menjiwai erti bola sepak," tambahnya.