BEKAS pemain tengah Manchester United, Paul Scholes, telah meminta kelab itu untuk mendapatkan khidmat Antoine Griezmann atau Sergio Aguero.

United sedang sibuk berjuang untuk merebut slot ke Liga Juara-Juara Eropah musim depan, namun ia tidak menghalang kelab itu daripada dikaitkan dengan beberapa pemain dari serata Eropah.

Bintang Atletico Madrid dan pemain antarabangsa Perancis, Griezmann -- yang menduduki tempat ketiga dalam anugerah Ballon d'Or -- adalah antara pemain yang hangat dikaitkan dengan Old Trafford.

Scholes -- juara 11 kali Liga Perdana Inggeris bersama United -- turut mencadangkan agar kelab itu menandatangani khidmat penyerang Manchester City, Aguero, bagi mengurangkan beban Zlatan Ibrahimovic.

"Mereka hanya kekurangan dua pemain. Saya akan memilih untuk membawa masuk pemain yang mampu mengawal bahagian tengah," Scholes memberitahu Daily Mail.

"Seorang penyerang yang mampu membantu Ibrahimovic. Griezmann atau Aguero, apa salahnya?

"Kita perlu lihat barisan pertahanan apabila mereka berdepan Tottenham, City, Chelsea dan Arsenal. Itu akan menentukan sama ada mereka memerlukan bek tengah. Bek kanan dan kiri mereka tidak ada masalah.

"Penjaga gol juga bukan satu masalah, melainkan Real Madrid mahu David de Gea."